Wednesday, August 30, 2017

Program Lawatan Anak Yatim Dar As-Sundus

برنامج الزيارة الأيتام في دار السندس

Jum'at, 25 Ogos 2017 - Program Lawatan Anak Yatim Dar As-Sundus, anjuran Unit Agama dan Akhlak, yang telah diikuti oleh 23 orang sukarelawan telah menerima sambutan baik oleh Puan Dr.Amal Abdurrahman Soleh, Raes Dar As-Sundus. Semasa lawatan tersebut, para sukarelawan telah diceriakan dengan suasana gembira anak-anak yatim yang berumur dalam lingkungan 5-15tahun.
Para sukarelawan juga berpeluang untuk menyerahkan sumbangan barangan ketika bermu'amalah dengan anak-anak yatim tersebut. Interaksi yang terjalin ketika itu, memainkan peranan dalam menjalinkan hubungan rapat di antara dua belah pihak. Khususnya, bagi pihak sukarelawan, telah mewujudkan rasa syukur dan kasih kepada anak-anak yang tiada beribu berayah.

[Tekan di sini untuk melihat gambar lebih lanjut]
Harapan besar penganjur adalah dapat mengadakan lagi program-program kebajikan di hari kemudian, dan menjadikannya sebagai aktiviti tahunan buat penuntut Brunei di Mesir, In sya Allah.

CERAMAH KHAS DAN RAMAH MESRA BERSAMA MENTERI HAL EHWAL UGAMA KE REPUBLIK ARAB MESIR.

مجلس الترحيب بمعالي وزير الشؤون الدينية وإلقاء الكلمة الخاصة منه

2.00 PM, 18hb Februari 2017, NASR CITY, KAHERAH, MESIR Kegembiraan terpancar diwajah para penuntut apabila Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Seri Setia Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, berkesudian beramah mesra bersama penuntut-penuntut Brunei Darussalam di Hotel Intercontinental City Star.
Majlis yang diadakan pada petang itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ketua Unit Agama dan Akhlak(UADA) Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Awang Augustian Abdul Hakeem bin Haji Daniel Alexander dan diteruskan dengan kata alu-aluan yang disampaikan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Ustaz Haji Abdul Kahar bin Bin Haji Hussin.
Seterusnya majlis diisikan dengan acara utama iaitu ceramah khas yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Seri Setia Haji Othman.
Majlis diberkati dengan bacaan doa selamat dan doa peliharakan Sultan yang diketuai oleh ketua UADA dan diakhiri dengan acara bergambar ramai dan ramah mesra bersama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Seri Setia Haji Othman.
[Tekan di sini untuk melihat gambar lebih lanjut]



Majlis Khatam Al-Quran sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2017M

مجلس ختم القرآن لمناسبة العيد الوطني ال-٣٣ لبروناي دارالسلام


Alhamdulillah, dengan izin-Nya jua, pada hari Rabu, 22 Februari 2016M bersamaan 25 Jammadilawal 1438H, telah berkesempatan menyambut Majlis Doa Kesyukuran sempena memperingati Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Kali Ke-33 yang bertempat di Surau bangunan Darussalam. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Mulia Tuan Yang Terutama Tuan Haji Abdul Kahar Bin Haji Hussin, Duta besar Negara Brunei Darussalam serta keluarga, para pegawai kedutaan serta keluarga dan mahasiswa-mahasiswi yang menuntut di Kaherah, Mesir.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan sembahyang hajat berjemaah yang telah diimamkan oleh Ustaz Muhammad Syazwi bin Murni, disusuli dengan bacaan surah Yassin beramai-ramai, doa hajat dan kesyukuran. Diteruskan lagi dengan Majlis Khatam Al-Quran dan bacaan Doa Khatam Al-Quran yang diketuai oleh Ustaz Ak. Ahmad Faris Ramadhani Bin Pengiran Hj Sallehuddin. Manakala doa hari kebangsaan dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Hj Hisyam Bin Haji Maidin, Pegawai Ataci Pelajaran dan Kebudayaan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir.




Majlis diteruskan lagi dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah yang diketuai oleh Ustaz Muhammad Najib bin Haji Aliakbar. Selepas itu majlis dilanjutkan lagi dengan menikmati jamuan makanan yang telah disediakan.
Bagi menyemarakkan lagi suasana, majlis dimeriahkan lagi dengan berbagai persembahan yang menarik dari para mustagid dan mustagidah iaitu dimulai dengan menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, kemudian diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian lagu patriotik “Laungan Brunei Darussalam” dan “Brunei Tanah Airku”, persembahan silat, persembahan hadrah dan persembahan Tausyeh “Ya ‘Ashiqal Moustafa”.


Alhamdulillah, majlis ini diadakan bertujuan untuk memanjatkan doa dan rasa bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurniaNya ke atas Negara kita yang tercinta, Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya majllis seperti ini, semoga Negara kita akan sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wa Taala. Amin.