Thursday, December 1, 2016

Sukan Muhibbah BKPBDK 2016 - 2017M

رياضة المحبة للجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة، مصر للعام ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir - Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan semangat kesukanan, acara sukan muhibbah sesi 2016/2017M telahpun diadakan dengan jayanya. Acara ini berlangsung pada hari Sabtu bersamaan dengan 26hb November 2016M yang bertempat di Nadi Riyadhi, Madinat Nasr. Turut hadir memeriahkan acara ini ialah tetamu kehormat majlis, Tuan Yang Terutama Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Mesir, pegawai-pegawai kedutaan dan mahasiswa dan mahasiswi. 

Acara seawal pukul 8.00 pagi ini dimulakan dengan perbarisan masuk rumah-rumah sukan, bacaan surah Al-Fatihah dan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah peliharakan sultan’ beramai-ramai.  Acara kemudian diteruskan  dengan ucapan aluan dari Ustaz Ak Muhd Harith Bin Pg Yakob, Ketua Unit Sukan dan Kesihatan sesi 2016/2017M dan disempurnakan dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.



Pada tahun ini, sebanyak tiga buah rumah sukan  telah berentap bagi merebut gelaran juara keseluruhan dan setiap nama rumah sukan diambil sempena nama jenis batu permata iaitu Zamrud, Jumshat dan Zabarjad. Pelbagai acara sukan telah pun dipertandingkan, diantaranya, lari 100 meter, relay game, shoot the ball, man vs food, Brucai fitness, tarik kalat, futsal dan lain lain.

Acara kemudian diakhiri dengan penyampaian pingat kepada para pemenang. Keputusannya, rumah Jumshat telah berjaya meraih gelaran johan keseluruhan, manakala naib johan disandang oleh rumah  Zamrud dan rumah Zabarjadmendapat tempat ketiga.

Berikut disertakan keputusan acara sukan tahunan sesi 2016/2017M:

Sukan Tahunan BKPBDK 2016 - 2017M

الرياضة السنوية للجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة للسنة ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir - Syukur ke hadrat Allah, warga BKPBDK telahpun berjaya menjalankan aktiviti Sukan Tahunan dalam beberapa hari, bermula dari 9hb November 2016 dan berakhir pada 21hb November 2016. Permainan-permainan yang diadakan adalah perlawanan bola sepak, bola jaring, ping pong, bowling, badminton dan tarik kalat, yang mana ia melibatkan semua para pelajar Negara Brunei Darussalam yang berada di Kaherah, Mesir, juga tidak terkecuali para pegawai kedutaan Brunei ke Republik Arab Mesir.

Perlawanan Bola Sepak bagi Mahasiswa
Perlawanan Bola Jaring bagi Mahasiswi



Perlawanan Ping Pong bagi Mahasiswa
 

Pelawanan Ping Pong bagi Mahasiswi


Perlawanan Badminton bagi Mahasiswa
Perlawanan Badminton bagi Mahasiswi

Perlawanan Bowling

Perlawanan Tarik Kalat

Acara-acara seperti ini, tidak disangkal lagi, mampu menyatukan warga BKPBDK dan menguatkan tali silaturrahim antara satu sama lain melalui cara beriadah. Ia dikira sebagai aktiviti sampingan yang sihat untuk para pelajar selain daripada tugas utama mereka iaitu menimba ilmu.

Tuesday, November 15, 2016

Bazaar Makanan dan Kraftangan Asia 2016 di Hotel Conrad, Kaherah [Bazaar Asia Diplomats' Spouses Association (ADSA)]

بازار أطعمة وحِرَفات آسيا ٢٠١٦ في فندق "CONRAD" بالقاهرة، مصر


Kaherah, Republik Arab Mesir, 12hb November 2016M bersamaan 13 Safar 1438H - Alhamdulillah, warga Brunei di Kaherah, Republik Arab Mesir telah berpeluang dalam menghadiri Bazaar Asia Diplomats' Spouses Association (ADSA) yang bertempat di hotel Conrad, Kaherah, Mesir. Beberapa buah negara dari setiap pelusuk dunia turut serta dalam bazaar tersebut, di antaranya ialah; Kazakhstan, Indonesia, Australia & New Zealand, Singapore, Sri Lanka, India, China, Tajikistan, Palestine, Philippines, Cambodia dan Japan.




Brunei juga tidak terkecuali dalam menyertai bazaar tersebut. Tujuan bazaar ini diadakan adalah untuk membantu badan amal di Mesir. Selain itu, bazaar ini juga dapat mempamerkan budaya setiap negara dan mengeratkan tali silaturrahim sesama negara.

Monday, November 14, 2016

Majlis Pembukaan Sukan Tahunan BKPBDK Sesi 2016 - 2017M

مجلس افتتاح الرياضة السنوية للجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة في مصر للعام ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir, 9hb November 2016M bersamaan 9 Safar 1438H - Alhamdulillah, Unit Sukan dan Kesihatan di bawah naungan BKPBDK 2016 - 2017M telahpun merasmikan pembukaan Sukan Tahunan untuk mahasiswa / mahasiswi Brunei Darussalam bagi sesi 2016 - 2017M. Majlis ini bertempat di Markaz Syabab, Hayyu Sadis, yang mana ia turut dihadiri oleh tetamu kehormat majlis, iaitu Tuan Haji Mohd Amirol Hafidzin bin Mohammad, Setiausaha I, Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir.


Acara bermula kira-kira pukul 7.15 malam dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai bagi memberkati majlis, dengan harapan majlis tersebut berjalan dengan lancar. Kemudian, lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, iaitu "Allah Peliharakan Sultan" dengan gahnya dinyanyikan oleh mahasiswa / mahasiswi Brunei. Setelah itu, majlis pun diteruskan dengan acara pembukaan Sukan Tahunan BKPBDK yang dirasmikan oleh tetamu kehormat majlis, dengan menyepak bola ke dalam gawang. Dengan itu bermulalah titik permulaan Sukan Tahunan BKPBDK bagi sesi 2016 - 2017M yang dimulakan dengan perlawanan futsal bagi mahasiswa, dan bola jaring bagi mahasiswi.





Senarai permainan Sukan Tahunan 2016 - 2017 serta tarikh

Adapun Sukan Tahunan pada kali ini melibatkan tiga buah rumah sukan, iaitu Rumah Zamrud (زمرد), Rumah Zabarjad (زبرجد) dan Rumah Jumshat (جمشت). Manakala permainan yang dipertandingkan pula adalah sebanyak tujuh permainan (lihat gambar di atas). Pemenang bagi setiap permainan akan diberikan markah mengikut urutan dan dikumpulkan sehingga penutup sukan tahunan untuk mengetahui pemenang keseluruhan yang akan diadakan pada 26hb November 2016 ini nanti, in sha Allah.

Friday, November 11, 2016

Majlis Pembuka Tirai Aktiviti BKPBDK 2016 - 2017M

مجلس افتتاح أنشطة الجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة للعام ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir, 6hb November 2016M bersamaan 7 Safar 1438H - Alhamdulillah, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) sesi 2016/2017 telah berjaya mengungkayahkan majlis Pembuka Tirai BKPBDK di surau Darussalam dengan dihadiri oleh pegawai kesejahteraan penuntut, ahli-ahli BKPBDK, mahasiswa dan mahasiswi Brunei di Kaherah.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Ketua Unit Sukan Dan Kesihatan iaitu Ustaz Awangku Muhammad Harith Bin Pengiran Yakob dan seterusnya bacaan surah Yasin dan Tahlil diketuai oleh Ustaz Augustian Abdul Hakeem Bin Haji Daniel Alexander yang mana beliau merupakan Ketua Unit Agama Dan Akhlak bagi tahun 2016/2017 ini.

Bagi memberkati majlis, acara diteruskan lagi dengan bacaan doa Yasin dan doa Tahlil yang dipimpin oleh Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan iaitu Ustaz Muhammad Salihan Bin Samra disertai dengan doa kesyukuran dan doa peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Hilmi Bin Yakop selaku Ketua Unit Pelajaran Dan Penerangan. 


Di kesempatan ini juga, Presiden BKPBDK sesi 2016/2017, Ustaz Muhammad Nur Naqiudin Bin Haji Rosman turut memberikan sepatah dua kata. Antara ucapan beliau, beliau selaku Ketua BKPBDK tahun ini berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam menjalan tugas yang dipertanggungjawabkan. 

Beliau juga ada menyentuh tentang slogan Brucai ‘Ke Arah Perpaduan Intelek Islam Yang Berkaliber’. Beliau menekankan kepada mahasiswa dan mahasiswi Brucai agar membawa ilmu yang dipelajari dan ditimba di Mesir untuk disumbangkan ke Negara Brunei Darussalam dan beliau juga berpesan supaya ahli Brucai berkebolehan dalam pelbagai bidang, pandai bersosial dan bukan semata-mata pandai belajar sahaja.

Majlis ditutup dengan solat Isya’ berjemaah yang diketuai oleh Bendahari Agung 1, Ustaz Muhammad ‘Atifin Abdul Latif. Seterusnya, semua hadirin beredar dari surau Darussalam untuk menikmati jamuan. Dengan itu berakhirlah sudah majlis Pembuka Tirai BKPBDK sesi 2016/2017.

Kempen Kebersihan Satu Brucai 2016 - 2017M

حملة النظافة للجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir, 4 November – Alhamdulillah Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK)  Sesi 2016/2017M telah mengadakan kempen kebersihan satu Brucai. Program ini dianjurkan oleh Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan BKPBDK.

Adapun kempen ini diadakan di bangunan Darussalam. Setiap unit badan telah dibahagikan untuk membersihkan tempat-tempat yang telah ditetapkan seperti surau, mini hall, bilik perpustakaan dan sebagainya. Kempen bermula pada pukul 2 petang selepas solat jumaat sehingga pukul 3 bagi memberi ruang para mahasiswa/mahasiswi untuk berehat serta menunaikan solat fardhu ‘Asar berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Unit Agama Dan Akhlak. Kempen diteruskan semula sehingga pukul 5 petang dan diakhiri dengan menikmati jamuan.