Friday, November 11, 2016

Majlis Pembuka Tirai Aktiviti BKPBDK 2016 - 2017M

مجلس افتتاح أنشطة الجمعية الخيرية لطلبة بروناي دارالسلام بالقاهرة للعام ٢٠١٦ - ٢٠١٧م


Kaherah, Republik Arab Mesir, 6hb November 2016M bersamaan 7 Safar 1438H - Alhamdulillah, Badan Kebajikan Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah (BKPBDK) sesi 2016/2017 telah berjaya mengungkayahkan majlis Pembuka Tirai BKPBDK di surau Darussalam dengan dihadiri oleh pegawai kesejahteraan penuntut, ahli-ahli BKPBDK, mahasiswa dan mahasiswi Brunei di Kaherah.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diketuai oleh Ketua Unit Sukan Dan Kesihatan iaitu Ustaz Awangku Muhammad Harith Bin Pengiran Yakob dan seterusnya bacaan surah Yasin dan Tahlil diketuai oleh Ustaz Augustian Abdul Hakeem Bin Haji Daniel Alexander yang mana beliau merupakan Ketua Unit Agama Dan Akhlak bagi tahun 2016/2017 ini.

Bagi memberkati majlis, acara diteruskan lagi dengan bacaan doa Yasin dan doa Tahlil yang dipimpin oleh Ketua Unit Kebajikan Dan Kemasyarakatan iaitu Ustaz Muhammad Salihan Bin Samra disertai dengan doa kesyukuran dan doa peliharakan Sultan yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Hilmi Bin Yakop selaku Ketua Unit Pelajaran Dan Penerangan. 


Di kesempatan ini juga, Presiden BKPBDK sesi 2016/2017, Ustaz Muhammad Nur Naqiudin Bin Haji Rosman turut memberikan sepatah dua kata. Antara ucapan beliau, beliau selaku Ketua BKPBDK tahun ini berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam menjalan tugas yang dipertanggungjawabkan. 

Beliau juga ada menyentuh tentang slogan Brucai ‘Ke Arah Perpaduan Intelek Islam Yang Berkaliber’. Beliau menekankan kepada mahasiswa dan mahasiswi Brucai agar membawa ilmu yang dipelajari dan ditimba di Mesir untuk disumbangkan ke Negara Brunei Darussalam dan beliau juga berpesan supaya ahli Brucai berkebolehan dalam pelbagai bidang, pandai bersosial dan bukan semata-mata pandai belajar sahaja.

Majlis ditutup dengan solat Isya’ berjemaah yang diketuai oleh Bendahari Agung 1, Ustaz Muhammad ‘Atifin Abdul Latif. Seterusnya, semua hadirin beredar dari surau Darussalam untuk menikmati jamuan. Dengan itu berakhirlah sudah majlis Pembuka Tirai BKPBDK sesi 2016/2017.

No comments:

Post a Comment